TASAUF/TARIQAT ..
Oleh suraya, 2005-09-19 09:42:57, IP : 211.25.176.28
Apakah itu ilmu tasauf ? Wajibkah kita sebagai umat Islam
mempelajarinya ? Adakah ilmu tasauf ini diajar oleh golongan
tariqat saja ? Benarkah ilmu ini dikaitkan dengan pembawaan
ajaran-ajaran sesat ? Saya amat keliru.
Harap Dr. sedia meleraikan kekusutan saya.
Naguib
Jawapan Dr. Danial
------------------
Bertasawuf memang di tuntut. Yang dikeji ialah bidaah dalam
bertasawuf.
Ilmu tasawuf merupakan salah satu cabang ilmu yang utama dan
wajib dipelajari dalam Islam, di samping ilmu akidah dan fekah.
Tasawuf membicarakan tentang akhlak, budi pekerti dan pemurnian
hati dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas, tawaduk, sabar,
muraqabah, mujahadah, teda, tawakal, khusyuk dan seumpamanya.
Perkara ini dipandang penting oleh Islam, justeru, Nabi bersabda,
"SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MELIHAT KEPADA TUBUH JASAD DAN RUPA
PARAS MU, SEBALIKNYA ALLAH MELIHAT KEPADA HATI-HATI MU."
- ( Riwayat Muslim )
Hati yang paling rendah martabatnya ialah yang dipenuhi dengan
nafsu al-ammarah.
Allah berfirman ;
"DAN AKU TIDAK MEMBEBASKAN DIRI KU DARIPADA KESALAHAN, KERANA
SESUNGGUHNYA NAFSU AL-AMMARAH SELALU MENYURUH KEPADA KEJAHATAN."
( Surah Yusuf : ayat 53 )
Apabila hati terus digilap, ia meningkat kepada makam nafsu
al-mutmainnah atau pun hati yang tenang damai. Allah berfirman;
"WAHAI HATI YANG TENANG. KEMBALILAH KEPADA TUHAN MU DENGAN HATI
YANG PUAS LAGI DIREDAI. MASUKLAH KE DALAM JEMAAH HAMBA-HAMBA KU
DAN MASUKLAH KE DALAM SYURGA KU."
( Surah Al-Fajr : ayat 27-30 )
Apabila hati bersinar, ibadah akan dilakukan dengan ihsan. Ihsan
ialah, "Kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat
Tuhan mu jika tidak, yakinilah Allah melihat kamu."
( Bukhari Muslim )
Apabila makam ini dicapai KUALITI akan terserlah dalam setiap
perkara yang diceburi. Kesemua ini membawa kepada kecemerlangan
hidup.
Inilah intisari kepada ilmu tasawuf.
Tariqat
-------
Tariqat adalah jalan khusus dalam melaksanakan tasawuf. Mereka
yang bertarikat akan 'mengambil ijazah' dari guru-guru tarikat
tertentu dan kemudiannya mereka dituntut melaksanakan wirid-wirid
dan amal-amal tertentu.
Dalam Islam, tidak ada nas dan dalil yang menuntut kita memasuki
sebarang tariqat. Yang dituntut ialah kita berakhlak, berpekerti
mulia dan memurnikan jiwa.
Al-Quran dan As-Sunnah sudah lengkap dengan arahan dan cara untuk
mendekatkan diri kepada Allah. Apatah lagi pada hari ini, banyak
bidaah dan amalan sesat telah memasuki aliran-aliran tarikat.
Jika anda masih ingin memasuki aliran tarikat tertentu, mantapkan
ilmu agama dan syariat anda terlebih dahulu agar anda tahu
menilai yang salah dan yang betul. Jangan jadi pengikut secara
membuta tuli dan jangan berasa kagum dengan kepelikan-kepelikan
kerana kepelikan kadangkala membawa kepada kesesatan.
No comments:
Post a Comment